Kuburan hanyalah benda mati yang tidak dapat memberikan manfaat mahupun mudharat. Di dalamnya terbujur mayat yang kaku yang justeru memerlukan doa dari orang-orang yang masih hidup.
Mayat yang terkujur di kubur itu sesekali tidak dapat menyampaikan doa orang yang bertawassul kepadanya, apalagi untuk memperkenankan doa. Tetapi pada hari ini, terdapat sebahagian kelompok orang dari kalangan umat Islam, yang gemar menjadikan kuburan sebagai tempat ibadah, tempat berdoa, tempat menggapai barakah, tempat meratap, dan tempat membaca al-Qur'an.
Maka buku ini hadir sebagai salah satu jawaban terhadap isu ini yang sedang hangat diperkatakan. Penulis memulakan kupasan perbahasannya dengan menjelaskan sekitar hakikat kubur di sisi Islam, sunnah ziarah kubur, dan penjelasan bahawa kubur tidak mampu memberi manfaat kebaikan mahupun mendatangkan mudharat.
Kemudian penulis teruskan kupasannya kepada fokus yang menjadi tujuan perbahasan iaitu sekitar isu menjadikan kubur sebagai tempat ibadah, ritual-ritual di kuburan, hukum membaca al-Qur'an di kuburan dari sisi imam mazhab dan antara pendapat yang mengharuskan serta melarang. Seterusnya, penulis teruskan pula dengan kupasan sekitar isu menjadikan kuburan sebagai masjid, tempat berhari-raya, tempat tujuan dalam safar (perjalanan jauh), dan hukum bertawassul serta mengambil barakah dengannya. [Hak cipta Atsar Enterprise, www.atsar.ilmusunnah.com. Tidak dibenarkan membuat salinan tanpa kebenaran]
Akhir sekali, penulis akhiri perbahasan bukunya ini dengan tajuk Adab-adab terhadap Kubur dari sisi pandang al-Qur'an dan as-Sunnah. Ini antaranya seperti tidak dijadikan kubur itu sebagai tempat pemujaan, tempat menyembelih haiwan, tempat ibadah, tidak dibina padanya bangunan atau tembok atau dibuat-dibuat tulisan serta tidak dijadikan sebagai tugu-tugu peringatan padanya.