Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman (maksudnya):
"Ambillah zakat dan harta mereka bagi tujuan membersihkan dan menyucikan mereka, dan berdoalah untuk mereka. Sesungguhnya doamu itu menumbuhkan ketenteraman jiwa bagi mereka. Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui." (Surah at-Taubah, 9: 103)
Dalam sebuah hadis, Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa Sallam bersabda:
"Islam itu adalah hendaklah engkau mengakui bahawa tiada yang berhak disembah dengan benar melainkan Allah, dan Nabi Muhammad adalah utusan Allah, hendaklah engkau mendirikan solat, menunaikan zakat, berpuasa di bulan Ramadhan, dan melaksanakan ibadah haji ke Baitullah." (Shahih al-Bukhari, no. 50)
Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa Sallam pernah mengutus Muadz B. Jabal radhiyallahu 'anhu ke Yaman, dan di antara pesan beliau kepada Mu'adz adalah:
"Sesungguhnya Allah mewajibkan zakat pada harta-benda mereka yang diambil dari orang-orang yang kaya dari kalangan mereka dan diberikan (diagihkan) kepada orang-orang faqir dari kalangan mereka." (Shahih al-Bukhari, no. 1395)
Dalam ayat dan hadis ini memiliki penegasan tentang wajibnya menunaikan zakat bagi orang-orang kaya. Iaitu bagi mereka yang telah cukup haul dan nishabnya sebagaimana dalam dalil-dalil yang lain sebagaimana akan dibahaskan melalui buku ini.
Zakat dalam istilah syara' adalah ibadah yang difardhukan bagi tujuan mendekatkan diri kepada Allah ke atas orang-orang yang berkelayakan dengan kadar yang ditentukan supaya agar dapat menyucikan jiwa dan menyucikan harta benda. Secara asasnya, keduanya menuju kepada penyucian jiwa, iaitu memurnikan keimanan dengan mendermakan sebahagian dari harta.
Bagi mereka yang menunaikan zakat, Allah akan memberkahi sisa harta yang masih dalam simpanan dan padanya ia mendapat pahala. Dengan zakat, ia juga membuka jalan menuju Syurga Allah yang jauh lebih nikmat dari harta yang sedia dimiliki. Ia juga melahirkan satu sikap tanggungjawab terhadap golongan yang kurang berkemampuan dan hidup susah.
Bagi yang menerima zakat, ia akan melahirkan rasa kasih dan sayang terhadap orang-orang yang mengeluarkan zakat. Ia juga menghilangkan rasa iri dan dengki. Sekaligus zakat mampu membantu golongan yang faqir dan hidup susah serta membantu pertumbuhan ekonomi golongan yang kurang berkemampuan.
Namun untuk melaksanakan zakat, tidak dapat tidak, ia perlu dengan ilmu dan bimbingan al-Qur'an dan as-Sunnah yang sahih. Maka antara rujukan yang baik dalam persoalan zakat ini yang telah diterjemahkan ke dalam bahasa kita adalah milik Syaikh Muhammad B. Soleh al-'Utsaimin rahimahullah ini. Iaitu salah satu bab dari juzu' besar Syarah kitab Bulughul Maram. Satu juzu' dari bab perbahasan zakat dari pelbagai bab-bab fiqh lainnya yang terkandung dalam Syarah Bulughul Maram oleh Syaikh al-'Utsaimin ini dikeluarkan lalu dibukukan secara berasingan menjadi satu buku khusus yang membahaskan persoalan zakat yang sangat penting lagi besar manfaatnya ini.
Jadi, tela'ahlah buku ini dari lembar ke lembar-lembarnya sehingga lembar terakhir. Dari satu hadis ke satu hadis berikutnya, dari syarah/huraian hadis ke huraian hadis-hadis berikutnya sehinggalah tamat agar beroleh manfaat ilmu yang sekaligus mampu menjadikan kita mengeluarkan zakat dengan kefahaman ilmu yang sahih dan tepat, insyaAllah. Dan juga agar setiap dari kita ini tidak terlalaikan dari melaksanakan salah satu bentuk ibadah yang difardhukan ke atas setiap muslim yang berkemampuan ini. [Hak cipta Atsar Enterprise, www.atsar.ilmusunnah.com. Tidak dibenarkan membuat salinan tanpa kebenaran]