Sinopsis: Secara ringkas, asalnya kata atsar merujuk kepada riwayat, jejak, perkataan, pendapat, atau boleh juga sunnah. Namun kemudian dibezakan antara atsar dan sunnah. Sunnah merujuk kepada Rasulullah, manakala atsar pula digunakan untuk menyandarkan sesuatu riwayat kepada sahabat atau tabi’in baik dalam perkataan ataupun perbuatan mereka.
Demikianlah secara umum kata atsar yang dimaksudkan untuk buku ini.
Kenapa Atsar Sahabat dan Tabi’in?
Tahukah kita bahawa Allah Subhanahu wa Ta’ala telah memerintahkan kita agar kembali dan berpedoman kepada kitab-Nya, kepada sunnah Rasul-Nya, dan juga kepada manusia-manusia yang paling mengetahui terhadap kitab dan sunnah nabi-Nya.
Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:
“Dan Kami tidak mengutus sebelum kamu, kecuali orang-orang lelaki yang Kami beri wahyu kepada mereka, maka bertanyalah kepada orang yang mempunyai pengetahuan jika kamu tidak mengetahui.” (Surah An-Nahl, 16: 43)
Dan Allah Subhanahu wa Ta’ala juga berfirman:
“Wahai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul-(Nya), dan ulil amri di antara kamu. Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (Al-Qur’an) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya.” (Surah An-Nisaa’, 4: 59)
Ulil Amri dalam ayat ini merujuk kepada dua maksud, iaitu pemerintah dan ulama, iaitu dari kalangan mereka yang berilmu dan memiliki autoriti dalam mengemban agama. Dan mereka yang paling berilmu dalam agama ini setelah Rasulullah sudah tentulah para pelajar beliau, iaitu dari kalangan sahabat-sahabat beliau, kemudian para pelajar dan pengikut kepada para sahabat ridhwanullaahu ‘alaihim ‘ajma’in.
Dalam sebuah riwayat, sahabat Nabi - ‘Abdullah Ibn Mas’oud radhiyallahu ‘anhu pernah mengatakan:
“Manusia itu sentiasa utuh dalam kebaikan selama mereka tetap mengambil ilmu dari para sahabat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dan Akaabir (ulama senior yang paling berilmu) dari kalangan mereka. Namun apabila mereka mendapatkan ilmu dari Ashaaghir (orang-orang kecil yang belum manpan ilmunya) dari kalangan mereka, maka saat itulah mereka binasa.” (Mushannaf ‘Abdirrazzaq, no. 20446. Syarhus Sunnah Al-Baghawi, 1/317)
Tidak diragukan lagi bahawa mereka adalah orang-orang yang paling baik hatinya, paling dalam ilmunya, tidak mengada-adakan (sesuatu dalam agama), maka mereka lebih layak untuk mendapatkan taufiq dalam memahami Kitabullah dan Sunnah Rasulullah, tidak seperti orang-orang yang tidak mengikuti jalan mereka, ini adalah kerana mereka dikurniakan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala dengan akal yang cemerlang, lisan yang lurus, ilmu yang luas, mudah menerima, mampu memahami dengan cepat dan baik, serta jarang atau bahkan tidak pernah menolak syari’at yang disampaikan, memiliki niat yang baik, dan ketaqwaan yang tinggi kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala. Bahasa Arab pun sudah menjadi kebiasaan mereka, dalam fitrah dan akal mereka telah tertanam makna-makna yang benar, mereka tidak perlu melihat isnad (jalur sanad perawi) dan keadaan para perawinya, illat-illat hadis, jarh wa ta’dil, dan mereka juga tidak perlu mempelajari kaedah-kaedah ushul, tidak perlu melihat kepada tabiat-tabiat ahli ushul fiqh yang beraneka ragamnya, mereka semua tidak perlu akan itu semua, sehingga menjadikan mereka jauh dari fitnah, salah-faham, dan perselisihan di mana mereka belajar dan mengambil agama ini terus secara langsung daripada Rasulullah.
Jadi, tidak ada pada mereka kecuali hanya mengatakan antara dua perkataan:
1, mereka hanya mengucapkan: “Allah berfirman seperti ini…” dan “Rasulullah bersabda begini...” dan,
2, mereka berhak mengatakan, “Maknanya adalah demikian...”
Merekalah orang-orang yang patut untuk mendapatkan dua perkara ini, dan mereka pula yang paling berhak atas keduanya dari umat ini. Tidak perlu bagi mereka mengatakan fulan berkata begini, fulan berkata begitu, mazhab fulan begini pendapatnya, dan seumpamanya...
Oleh sebab itu, Allah Subhanahu wa Ta’ala telah menjadikan atsar-atsar (pendapat, jejak-jejak, dan riwayat tentang mereka) sebagai bahagian dari agama, ‘aqidah, manhaj, ibadah, dan akhlak, dan memang inilah kebenaran yang harus diikuti. Dari merekalah kefahaman agama ini diambil dan diwarisi, kerana merekalah anak-anak dan para pelajar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.
Malah Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:
“Orang-orang yang terdahulu lagi yang pertama-tama (masuk Islam) dari golongan Muhajirin dan Anshar (iaitu dari kalangan sahabat Nabi) dan orang-orang yang mengikuti mereka dengan baik, Allah redha kepada mereka...” (Surah At-Taubah, 9: 100)
Dan firman-Nya:
“Maka jika mereka beriman kepada apa yang kamu (para sahabat Nabi) telah beriman kepadanya, sungguh mereka telah mendapat petunjuk dan jika mereka berpaling, sesungguhnya mereka berada dalam permusuhan (dengan kamu).” (Surah Al-Baqarah, 2: 137)
‘Abdullah B. Mas’oud radhiyallahu ‘anhu berkata, “Sesiapa di antara kamu mengikuti sunnah (bimbingan), maka ikutilah jejak bimbingan orang yang telah wafat kerana orang yang masih hidup tidak terlepas dari fitnah. Mereka adalah para sahabat Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Mereka adalah orang yang paling baik hatinya, paling dalam ilmunya, serta paling sedikit takalluf-nya (tidak merasa terbeban dengan syari’at). Mereka adalah kaum yang dipilih oleh Allah untuk berdampingan dengan Nabi-Nya dan menegakkan agama-Nya. Maka kenalilah kelebihan dan jasa-jasa mereka, ikutilah mereka, dan ambillah akhlak serta agama mereka kerana sesungguhnya mereka berada di atas landasan hidayah yang lurus.” (Ibnu ‘Abdil Bar, Jaami’ al-‘Ilm wa Fadhlihi, m/s. 368. Ibnu Taimiyyah, Majmu’ al-Fatawa, 3/126, 4/138, 4/158, 11/368, 11/573. Ibn al-Qayyim, I’lam al-Muwaqqi’in, 2/202-203)
Imam Ahmad B. Hanbal rahimahullah (Wafat: 241H) menegaskan salah satu dari prinsip-prinsip ahlus sunnah wal-jama’ah adalah:
“Prinsip Ahlus Sunnah di sisi kami adalah dengan tetap teguh di atas jalan hidup para sahabat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dan menjadikan mereka sebagai contoh ikutan (qudwah) dalam beragama.” (Imam Ahmad B. Hanbal, Ushulus Sunnah, no. 1-2)
Sunnguh, Allah Subhanahu wa Ta’ala telah menjadikan mereka sebagai manusia-manusia yang harus diikuti, maka sesiapa pun yang datang setelah-nya, ia wajib mengikuti dan berpedoman kepada atsar mereka, dari sinilah muncul nasihat-nasihat para ulama agar kita tidak keluar dari jalan yang mereka lalui.
Apabila mereka berselisih hingga muncul dua pendapat di antara mereka, maka tidak boleh kita membuat pendapat yang ketiga, kerana kebenaran pasti ada di antara mereka, bahkan Syaikh al-Islam Ibnu Taimiyyah rahimahullah (Wafat: 728H) dan ulama yang telah diper-akui kredibilitinya dalam ilmu yang ia miliki, menetapkan bahawa adalah mustahil bagi salah seorang imam ketika dia menyendiri dengan pendapatnya dari imam-imam yang lain untuk kebenaran berada padanya melainkan jika ia bersandar dengan atsar-atsar beberapa sahabat atau sekurang-kurangnya salah seorang di antara mereka. (Minhajus Sunnah An-Nabawiyah, 5/178)
Oleh sebab itu, sudah termasuk kewajiban orang-orang yang memiliki ilmu untuk memperhatikan, meneliti, dan memahami atsar-atsar para sahabat Rasulullah radhiyallahu ‘anhum, iaitu dengan cara mempelajari dan memisahkan antara atsar yang memang sahih dari mereka dan atsar yang tidak sahih dari mereka.
Ini semua adalah semata-mata untuk menjaga agama, dan membuang perselisihan-perselisihan yang sebenarnya mereka tidak berselisih padanya, lalu semuanya dikembalikan kepada Kitab Allah dan Sunnah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.
Dan inilah salah sebuah buku bertujuan merealisasikan hal tersebut. Ia berisikan himpunan atsar-atsar Sahabat Nabi yang terpilih, iaitu mengandungi sekitar 350 atsar Sahabat dan Tabi’in yang cukup bermanfaat mencakupi pelbagai perkara penting dalam agama berserta dengan syarah atau huraian kefahaman tentangnya serta takhrijnya (rujukan dan status keabsahannya).
Selamat menuai manfaat. Baarakallaahufiikum... [Disediakan oleh Atsar Enterprise, www.atsar.ilmusunnah.com. Tidak dibenarkan membuat salinan tanpa kebenaran]
Hubungi Saudara Nawawi, h/p. No.: 012-6887715 atau email: ilmusunnah@gmail.com untuk urusan tempahan, pembelian, atau semakan stok. Layari juga website kami di, www.atsar.ilmusunnah.com
Bayaran Pembelian:
Bank in/depositkan bayaran (termasuk kos penghantaran) ke account CIMB no. 0114-0018104-52-8 (Nawawi B. Subandi), atau Maybank: 162786012893 (Nur Amalina Bt. Zahari) atau Bank Islam: 12038010109649 (Atsar Enterprise), kemudian sms/email kan nama, alamat penuh anda, serta no. tel untuk urusan penghantaran.