Bahawasanya pertarungan di antara kebenaran dengan kebathilan akan tetap terus wujud sehingga hari kiamat. Pertarungan di antara tauhid dengan kesyirikan juga akan terus berlangsung. Pertembungan di antara sunnah dengan bid'ah juga tetap berlaku.
Demikian juga pertarungan di antara ahli sunnah pembawa panji-panji kebenaran terhadap kebathilan kaum Jahmiyah yang merupakan para pengingkar sifat-sifat Allah, ia akan terus berlangsung semenjak dahulu hingga kini. Dalam Islam, perbuatan membantah tipu-daya, syubhat-syubhat dan makar kesesatan ahli bid'ah seumpama Jahmiyah, Muktazilah, Al-Asya'irah mahupun yang seangkatan dengan mereka adalah termasuk amalan jihad fii sabilillah membela agama Allah.
Kaum Jahmiyah dan Muktazilah ini adalah kelompok sesat semenjak lama dulu yang amat terkenal dengan sikap bathil mereka dalam mengingkari dan menolak sifat-sifat Allah Subhanahu wa Ta'ala. Mereka juga terkenal sebagai kelompok yang mendewakan akal berbanding nash-nash wahyu Al-Qur'an dan As-Sunnah. Pada hari ini, ideologi mereka tidak padam, bahkan tetap berkembang dengan mengambil kesempatan di atas kejahilan masyarakat awam. Walaupun nama-nama dan kelompok-kelompok mereka pada hari ini berbeza-beza label pergerakkannya, tetapi mereka tetap tidak akan dapat menyembunyikan wajah-wajah mereka yang sebenar dari kalangan ahli kebenaran. Kerana ahli kebenaran tetap mengenal dengan ilmu dan mengesan ideologi-ideologi mereka yang penuh penyimpangan dari agama. Di antara penolakan jelas mereka dalam persoalan sifat-sifat Allah adalah pengingkaran mereka terhadap istiwa'nya Allah di atas 'Arsy-Nya.
Jahmiyah dan Muktazilah mengingkari hakikat tersebut walaupun dalil-dalil yang menetapkannya telah datang dengan jelas bagai siang yang disuluhi matahari memancar terik. Tidak cukup dengan ayat-ayat Al-Qur'an dan As-Sunnah, fatwa-fatwa para sahabat Rasulullah juga menetapkan hal tersebut. Tetapi bagi Jahmiyah dan Muktazilah, itu semua tidak akan mampu memuaskan akal fikiran yang mereka dewa-dewakan. Mereka menetapkan kewujudan Allah semata-mata dengan akal. Dan setiap nash-nash wahyu yang pada anggapan mereka bertentangan dengan akal-akal mereka, mereka nafikan dan tolak ke tepi. Walhal akal-akal merekalah yang telah rosak sehingga tidak mampu memahami wahyu dengan benar.
Sedangkan seluruh ahli sunnah secara umum telah ijma' menjelaskan aqidah mereka dalam hal ini adalah beriman dengan kewujudan Allah yang memiliki nama-nama yang indah dan bersifat dengan sifat yang dijelaskan oleh wahyu. Di antaranya adalah mereka mengimani bahawa Allah itu beristiwa' di atas 'Arsy-Nya.
Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa Sallam bersabda:
"Bergantian menjaga kamu semua Malaikat malam dan Malaikat siang. Mereka berkumpul di waktu solat ‘Ashr dan Solat fajr. Kemudian naiklah malaikat (kepada Allah) yang bermalam bersama kamu, sehingga Allah bertanya kepada para malaikat tersebut (dalam keadaan Dia Maha Mengetahui); Allah berfirman:
"Bagaimana kamu tinggalkan hamba-Ku?"
Malaikat tersebut berkata: "Kami tinggalkan mereka dalam keadaan solat, dan kami tinggalkan mereka dalam keadaan solat." (Hadis Riwayat Al-Bukhari, no. 555. Muslim, no. 210)
Imam Ibnu Khuzaimah rahimahullah (Wafat: 311H) menyatakan:
"Di dalam khabar (hadis tersebut) telah jelas dan sahih bahawasanya Allah ‘Azza Wa Jalla di atas langit dan bahawasanya para Malaikat naik menuju kepada-Nya dari bumi. Tidak seperti sangkaan orang-orang Jahmiyyah dan Mu’aththilah (penolak Sifat-sifat Allah)." (Ibnu Khuzaimah, Kitabut Tauhid li Ibnu Khuzaimah, m/s. 381)
Sebagaimana juga firman Allah Ta'ala (maksudnya):
"...kepada-Nyalah naik kata-kata yang baik dan amal-amal soleh dinaikkannya.” (Surah Fathir, 35:10)
Kata Imam Al-Auza'i rahimahullah (Wafat: 167H):
"Kami dahulu (dari kalangan Tabi'in) berkata: Sesungguhnya Allah Subhanahu wa Ta'ala di atas 'Arsy-Nya, dan kita beriman dengan sifat-sifat-Nya yang datang dalam sunnah." (Al-Asma' wash Shifat lil Baihaqi, 2/304, no. 865)
Dan ikrar-ikrar seperti ini sangat maklum bertebaran di dalam kitab-kitab aqidah ahli sunnah wal-jama'ah dari dahulu hingga kini. Dan buku yang dipaparkan ini membawakan sebahagian kecil dari apa yang dimaksudkan dalam rangka membantah para pendukung ideologi Jahmiyah dan Muktazilah abad ke 21 hari ini. Buku ini mengungkap makar dan tipu-daya keji mereka serta membantahnya dengan baik sekali berdasarkan methodologi ahli sunnah wal-jama'ah. Dan inilah juga yang pernah dilakukan oleh para imam-imam terdahulu dalam berhadapan dengan ahli kebathilan. Mereka menyingkap kesesatan dan syubhat-syubhat ahli bid'ah itu dengan hujjah-hujjah yang terang.