Sabda Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa Sallam, “Sesiapa yang menempuh jalan untuk menuntut ilmu, maka Allah akan memudahkan baginya jalan menuju Syurga. Tidaklah suatu kaum berkumpul di salah sebuah rumah Allah dari rumah-rumah Allah (masjid) untuk membaca Kitabullah dan mempelajarinya di antara mereka, melainkan ketenangan (sakinah) turun kepada mereka, rahmat Allah meliputi mereka, dan Allah menyebut-nyebut mereka di hadapan para malaikat yang berada di sisi-Nya.” (Hadis Riwayat Muslim, 13/212, no. 4867)
__________________________________________________________________________________

| Nawawi | Aqeedah | Fiqh | Anti Syirik | Galeri Buku | Galeri MP3 | Bio-Pure |
__________________________________________________________________________________

Wednesday, June 13, 2012

575 - Mukhtashar Tafsir Ibnu Katsir Jilid 1

Mukhtashar Tafsir Ibnu Katsir Jilid 1


Judul Buku:
Mukhtashar Tafsir Ibnu Katsir Jilid 1
Judul Asal: 'Umdatut Tafsir 'an Al-Hafiz Ibnu Katsir

Penulis:
Penulis asal oleh Al-Hafiz Ibnu Katsir
Tahqiq, takhrij, dan diringkas oleh Syaikh Ahmad Syakir rahimahullah

Penerbit:
Darus Sunnah

Harga:
RM110

Berat Buku:
1.8kg

Keterangan Kandungan:

Dalam memehami Al-Qur'an, seseorang wajib merujuk kepada kaedah-kaedah penafsiran Al-Qur'an yang benar dan selamat sebagaimana yang telah ditetapkan oleh para ulama generasi awal dari kalangan salaf yang terdiri dari para pembesar sahabat, tabi'in, tabi'ut tabi'in dan para ulama yang mengikuti mereka dengan baik. Al-Qur'an tidak boleh dan tidak akan dapat difahami hanya berbekalkan logika dan perasaan. Sebaliknya, Al-Qur'an wajib difahami dengan berpandukan hadis-hadis Nabi yang sahih dan fatwa-fatwa para sahabat yang mana mereka menyaksikan sendiri turunnya ayat-ayat Al-Qur'an di masa mereka.

Di antara sebab kenapa kita wajib berpedoman dengan pemahaman dan manhaj (prinsip-prinsip) para sahabat dalam memahami Al-Qur'an adalah kerana mereka merupakan golongan yang sentiasa bersama-sama Nabi dalam apa jua keadaan, sama ada senang atau sukar. Teguh beraqidah sebagaimana yang diperintahkan, hidup di dalam suasana yang mendapat perhatian Nabi, dan mati di atas jalan yang benar. Di masa hidupnya sentiasa bersama-sama Nabi mengutip kebenaran yang disampaikan. Mereka berguru kepada Nabi secara langsung. Mereka tahu apabila sesuatu ayat Al-Qur'an diturunkan, ia diturunkan atas dasar apa dan apa latar belakang ayat tersebut. Mereka bermusafir dan berperang bersama-sama Nabi. Berjuang dan berdakwah menegakkan agama yang dibawa oleh Nabi. Mereka mendapat pengiktirafan secara langsung dari langit oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala.

Setelah kewafatan Nabi, merekalah kelompok manusia yang meneruskan perjuangan dan kesinambungan dakwah Rasulullah. Merekalah yang dipertanggungjawabkan oleh Allah memelihara al-Qur’an dan hadis-hadis Rasulullah dari pelbagai bentuk penyelewengan, pendustaan dan penyembunyian. Mereka menyampaikan, mengajarkan, dan menyebarkannya kepada generasi manusia seterusnya.

Tidak ada lagi bentuk-bentuk agama selain dari apa yang difahami dan disampaikan oleh mereka. Kerana apa yang difahami dan diamalkan oleh mereka dari agama Islam, sudah sangat-sangat memadai dan itulah yang terbaik. Kerana apa yang diamalkan oleh mereka, itulah yang mendapat restu dan pembenaran secara langsung daripada Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Dan bentuk-bentuk amalan (sandaran beragama) selain dari itu, maka ia adalah suatu yang asing lagi tertolak disebabkan agama ini telah pun sempurna dan mencukupi sebagaimana yang difahami oleh golongan terbaik bernama sahabat.

‘Abdullah B. Mas’oud radhiyallahu ‘anhu berkata:

مَنْ كَانَ مِنْكُمْ مُسْتَنًّا فَلْيَسْتَنَّ بِمَنْ قَدْ مَاتَ فَإِنَّ الْحَيَّ لَا تُؤْمَنُ عَلَيْهِ الْفِتْنَةُ أُولَئِكَ أَصْحَابُ مُحَمَّدٍ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَبَرُّ هَذِهِ الْأُمَّةِ قُلُوبًا وَأَعْمَقُهَا عِلْمًا وَأَقَلُّهَا تَكَلُّفًا قَوْمٌ اخْتَارَهُمْ اللَّهُ لِصُحْبَةِ نَبِيِّهِ وَإِقَامَةِ دِينِهِ فَاعْرِفُوا لَهُمْ حَقَّهُمْ وَتَمَسَّكُوا بِهَدْيِهِمْ؛ فَإِنَّهُمْ كَانُوا عَلَى الْهُدَى الْمُسْتَقِيمِ

“Sesiapa di antara kamu mengikuti sunnah (bimbingan), maka ikutilah jejak bimbingan orang yang telah wafat kerana orang yang masih hidup tidak terlepas dari fitnah. Mereka adalah para sahabat Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Mereka adalah orang yang paling baik hatinya, paling dalam ilmunya, serta paling sedikit takallufnya (tidak merasa terbeban dengan syari’at). Mereka adalah kaum yang dipilih oleh Allah untuk berdampingan dengan Nabi-Nya dan menegakkan agama-Nya. Maka kenalilah kelebihan dan jasa-jasa mereka, ikutilah mereka, dan ambillah akhlak serta agama mereka kerana sesungguhnya mereka berada di atas landasan hidayah yang lurus.” (Ibnu ‘Abdil Bar, Jaami’ al-‘Ilm wa Fadhlihi, m/s. 368. Ibnu Taimiyyah, Majmu’ al-Fatawa, 3/126, 4/138, 4/158, 11/368, 11/573. Ibn al-Qayyim, I’lam al-Muwaqqi’in, 2/202-203)

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

خَيْرُ النَّاسِ قَرْنِي ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ ثُمَّ يَجِيءُ أَقْوَامٌ تَسْبِقُ شَهَادَةُ أَحَدِهِمْ يَمِينَهُ وَيَمِينُهُ شَهَادَتَهُ

“Sebaik-baik manusia adalah pada kurunku, kemudian generasi setelah mereka, kemudian generasi setelah mereka. Kemudian akan muncul suatu kaum yang memberi persaksian mendahului sumpahnya, dan bersumpah mendahului persaksiannya.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, 9/133, no. 2458)

Di dalam Al-Qur'an, Allah mengiktiraf dan menyeru kita semua agar mengikuti jejak-jejak mereka. Maksud firman Allah Ta'ala:

“Orang-orang yang terdahulu lagi yang paling awal masuk Islam (generasi sahabat) dari golongan muhajirin dan anshar dan orang-orang yang mengikuti mereka dengan baik, Allah redha kepada mereka dan mereka pun redha kepada Allah dan Allah menyediakan bagi mereka syurga-syurga yang ada sungai-sungai mengalir. Mereka kekal abadi di dalamnya. Itulah kemenangan yang besar.” (Surah at-Taubah, 9: 100)

Oleh itu, di antara kitab tafsir agung dalam dunia Islam ahli sunnah wal-jama'ah adalah kitab Tafsir Ibnu Katsir ini. Ia adalah tafsir bil-matsur iaitu tafsir yang memuatkan methode penafsiran secara murni berpandukan manhaj para sahabat. Di dalamnya terpenuhi dengan hadis-hadis Nabi, kata-kata (fatwa-fatwa) para sahabat, pendapat-pendapat yang kuat dari kalangan tabi'in, serta hujah-hujah kesimpulan dari para pembesar mazhab ahli sunnah wal-jama'ah. Lebih menguatkan kedudukan Tafsir Ibnu Katsir ini, ia sentiasa mendapat dukungan dan rekomendasi para ulama dari zaman berzaman sehingga kini sebagai tafsir yang amat baik untuk para penuntut ilmu dan kalangan awam.

Amat sedih dan miskin, sekiranya rumah-rumah kita tidak memilikinya dan tidak pernah memiliki impian untuk memilikinya sekaligus menela'ahnya. Amat sayanglah sekiranya manfaat besar yang terkandung di dalamnya tidak diendahkan oleh umat Islam sendiri.

Alhamdulillah, pada hari ini sekali lagi Allah memudahkan kita semua untuk memahami ayat-ayat Al-Qur'an melalui tafsir ini di mana apabila kitab Tafsir Ibnu Katsir ini telah pun diterjemahkan. Ini adalah edisi tahqiq (penelitian dan semakkan), takhrij (penjelasan status hadis), dan ringkasan oleh Syaikh Ahmad Muhammad Syakir rahimahullah (Wafat: 1377).

Para ulama menyatakan bahawa tahqiq dan muktashar (ringkasan) Syaikh Ahmad Syakir rahimahullah ke atas Tafsir Ibnu Katsir ini sebagai antara tahqiq dan mukhtashar terbaik setakat ini berbanding edisi-edisi lainnya. Beliau memastikan hanya hadis-hadis atau riwayat-riwayat yang sahih dan hasan sahaja yang dipersembahkan oleh edisi ini. Walaupun demikian tidak setiap hadis yang dhaif (lemah) dikeluarkan apabila di sana ada keperluan bagi menjelaskan tarjih asal milik al-hafiz Ibnu Katsir dan bagi mehilangkan syubhat.

Beliau juga berusaha memperbaiki beberapa bentuk kekeliruan atau kesilapan teknikal yang terdapat dalam edisi asal oleh Al-Hafiz Ibnu Katsir rahimahullah. Selain itu, beliau turut menjelaskan secara panjang lebar sebahagian hadis-hadis yang mendapat kritikan dan pertikaian. Syaikh Ahmad Syakir juga menyatakan yang beliau turut mengeluarkan riwayat-riwayat Israiliyyat dan yang seumpamanya dalam edisi ini kerana berdasarkan methode Al-Hafiz Ibnu Katsir sendiri pun, beliau memang mencela khabar-khabar Israiliyyat tersebut di beberapa tempat dalam tafsirnya. Syaikh Ahmad Syakir turut menjelaskan secara panjang lebar sekitar 6 muka surat pada bahagian mukaddimah kitab ini tentang manhaj dan prinsip Al-Hafiz Ibnu Katsir terhadap riwayat-riwayat Israiliyyat yang dimaksudkan.

Kemudiannya, teks-teks al-Qur'an yang disebutkan di dalam edisi ini umumnya adalah berdasarkan resm 'Utsmani sebagaimana ditegaskan oleh pemerintah Mesir (negara Syaikh Ahmad Syakir).

Setiap apa yang diusahakan oleh Syaikh Ahmad Syakir rahimahullah ini dalam usahanya mentahqiq, mentakhtij, dan meringkas tafsir Ibnu Katsir ini antaranya adalah dalam rangka memudahkan golongan awam dan penuntut ilmu agar mampu mengambil manfaat secara optima.

Kata Syaikh Ahmad Muhammad Syakir rahimahullah:

"Saya sendiri bersesuaian dengan fitrah keilmuan dan pengetahuan saya berkaitan kitab-kitab dan khazanah peninggalan sejarah Islam yang agung, sebenarnya tidak gemar meringkaskan kitab-kitab atau melakukan perubahan di dalamnya. Akan tetapi saya dihadapkan dengan keperluan dan kepentingan yang mendesak untuk mendekatkan corak pemahaman tafsir kepada para pembaca di peringkat menengah yang memiliki wawasan ilmu, yang mana mereka masih tidak mampu menela'ah dan menyerap ilmu-ilmu pengetahuan yang bermanfaat secara benar lagi mendalam, dan mereka yang belum benar-benar mengerti tentang istilah-istilah yang diguna-pakai oleh para ulama dalam disiplin ilmu. Demikian juga untuk para penuntut ilmu Islam di pelbagai penjuru alam Islami. Untuk itu, saya pun merasa amat perlu melakukannya." (Mukaddimah 'Umdatut Tasir 'an Al-Hafiz Ibn Katsir)

Mungkin sebagai suatu maklumat yang menarik untuk sama-sama kita ketahui di sini, Syaikh Ahmad Syakir rahimahullah menjelaskan:

"Al-Hafiz Ibnu Katsir memulakan penulisan tafsirnya ini bermula dari Surah Al-An'am, ayat 100 sehingga akhir surah, An-Naas. Kemudian barulah beliau memulakan semula tulisannya dari Surah al-Baqarah hingga Surah Al-An'am, ayat 99. Al-Hafiz Ibnu Katsir menyelesaikan karya tafsirnya ini selama sekitar 4 tahun lamanya. Ia diselesaikan pada tarikh 24 Dzulqa'dah tahun 741H, hari Juma'at."

Jumlah Muka Surat:
1079 m/s.

Maklumat Pesanan:
Boleh hubungi Saudara Nawawi, melalui h/p. (SMS/Call) No.: 012-6887715 atau melalui email: dimensi83@hotmail.com untuk urusan tempahan, pembelian, atau pengesahan stok.

Layari, http://galeriniaga.blogspot.com/

Kaedah Bayaran:
Sebaik stok telah disahkan dan jumlah telah dipersetujui, bayaran boleh dibuat ke akaun bankCIMB no. 0114-0018104-52-8, atau Maybank: 162786012893 (Nur Amalina Bt. Zahari) atau Bank Islam: 12038010109649 (Atsar Enterprise).

Sebaik bayaran dibuat, sila sms/email-kan nama, alamat penuh anda, no. tel., serta nyatakan bayaran dibuat ke akaun mana. Setelah itu, urusan penghantaran/pengeposan akan kami lakukan secepat mungkin.