Secara hakikinya tidak hanya fizikal yang memerlukan bekal makan dan minum sebagai sumber kehidupan, tetapi hati juga turut memerlukan nutrisi yang mencukupi sebagai bekal sumber kehidupan jiwa yang sebenar. Santapan jiwa dari bentuk-bentuk renungan ilmu yang benar adalah di antara sumber bekal yang mampu menyuburkan keimanan di dalam jiwa. Kebaikan fizikal bukan hanya dibina melalui bekal makanan yang tampak, tetapi ia dibina juga dengan santapan ilmu iman yang benar. Fizikal yang baik adalah gambaran kepada kebaikan hati yang mendapat bekal santapan yang benar, bersih, dan murni.
Hati yang bersih murni sudah tentu terbina dari nasihat-nasihat yang baik dan tidak terkotori oleh lumuran noda-noda maksiat dan dosa. Bahkan dengan hati yang bersih murni hasil garapan iman yang sahih pasti akan mendorong jiwa, nurani, dan tubuh pemiliknya agar selalu mengerjakan perbuatan yang baik-baik lagi dicintai Allah, demikian jugalah sebaliknya.
Untuk itu, kami hadirkan kepada para pembaca buku yang sangat apik ini yang ditulis oleh seorang tokoh yang tidak asing lagi dalam dunia ilmu kontemporari, Syaikh Dr. Ahmad Farid. Buku ini adalah himpunan buah renungan keimanan yang disusun oleh penulis berserta beberapa pengalaman yang dialaminya. Sebuah renungan yang terlintas ketika mendengar lantunan ayat-ayat al-Qur’an atau mutiara-mutiara hadis Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa Sallam, perkataan-perkataan orang-orang soleh, atau renungan ketika mendengar atau melihat sesuatu peristiwa yang mengandungi ibrah (pengajaran) dan pelajaran yang tampak dan tersirat.
Buku ini memiliki nilainya tersendiri apabila dikatakan sebagai hasil yang mampu melengkapi dan menyempurnakan tema-tema buah karya tulis dari buku-buku yang telah ditulis oleh para penulis terkemuka sebelumnya, juga diperkaya dengan inspirasi dan kutipan dari dua buku karya ulama ternama yang cukup masyhur di kalangan umat Islam; Shaid Al-Khatir karya Ibnul Jauzi dan Al-Fawa'id karya Ibnu Qayyim Al-Jauziyah.
Buku ini ibarat buah dengan cita rasa yang istimewa kerana cakupan perbahasannya yang sangat indah meliputi persoalan aqidah, manhaj para Salaf, akhlak, serta kisah-kisah orang-orang soleh yang selalu berbuat kebaikan.
Semoga kehadiran buku ini mampu memberikan sentuhan-sentuhan keimanan dalam hati ini, dan membawa pemiliknya untuk selalu dekat kepada Dzat yang membolak-balikkan hati.
“Ya Allah, tetapkanlah hati kami dalam keimanan, keislaman, istiqamah di jalan-Mu dan selalu dalam ketaatan kepada-Mu.” [Hak cipta Atsar Enterprise, www.atsar.ilmusunnah.com. Tidak dibenarkan membuat salinan tanpa kebenaran]