Judul Asal: Risalah ilal 'Arusain wa Fatawa az-Zawaj wal Mu'asyaratin Nisaa'
Maktabah Al-Ghuroba'
Harga:
Berat:
0.95kg
Keterangan Buku:
Mewujudkan sebuah perkahwinan merupakan satu langkah yang sangat murni dan sangat-sangat dituntut oleh agama yang fitrah. Perkahwinan atau ikatan pernikahan adalah sebuah sunnah yang mulia yang telah dilakukan oleh para Nabi dan Rasul serta generasi awal dan akhir yang mengikuti petunjuk mereka.
Perkahwinan adalah sebuah fitrah yang telah sedia ditanamkan ke dalam jiwa-jiwa manusia seluruhnya. Oleh sebab itu, Islam menggalakkan umatnya untuk berkahwin.
Ini tidaklah sebagaimana yang berlaku kepada sebahagian agama seperti Kristian yang menggalakkan kerahiban, pertapaan para sami dari agama budha, dan seumpamanya yang melarang perkahwinan. Malah sebenarnya sebuah perkahwinan merupakan asas pembentukan masyarakat yang harmoni. Dengan perkahwinan, jiwa-jiwa menjadi tenang, hati menjadi tenteram, populasi manusia semakin bertambah disebabkan ikatan percintaan yang halal lagi sistematik. Bahkan perkahwinan termasuk salah satu bentuk ibadah yang mendekatkan diri kepada Allah.
Dengan ikatan perkahwinan juga, ia dapat mengawal dari berlakunya pelbagai bentuk gejala yang tidak sihat seperti perzinaan, perbuatan homoseksual dan juga pelacuran sebagaimana yang berlaku di era zaman jahiliyyah sebelum datangnya Islam ke tanah Arab dan kini banyak berlaku di negara-negara barat pula.
Dengan izin dari Allah Subhanahu wa Ta’ala, tulisan ini berusaha memberi pencerahan kepada banyak sudut yang sering terabai dalam praktik amalan pernikahan dan walimah umat Islam. Ini berlaku apabila kejahilan berleluasa, kurangnya semangat dan kesedaran menuntut ilmu yang benar, serta faktor persekitaran yang mempengaruhi.
Majlis-majlis perkahwinan yang ada pada hari ini rata-ratanya diiringi dengan pelbagai jenis adat dan upacara tertentu yang meragukan serta mengarahkan kepada timbulnya beberapa pertikaian di sisi agama di samping pembazairan dan menyusahkan pasangan serta keluarga pengantin.
Ini kerana adat-adat serta pelbagai upacara-upacara yang tidak diketahui asal-usulnya dari agama ini telah mula sebati dan popular di kalangan masyarakat Islam hari ini. Akibat kepopularan dan telah menjadi biasa, akhirnya sunnah yang benar pun mati. Lebih menyedihkan, ia bukan menambah-mudahkan lagi akad perkahwinan, tetapi sebaliknya banyak pula menjadi faktor penghalang kepada banyak pasangan yang ingin berhubungan kasih secara halal.
Sebenarnya jika kita kembali kepada agama, perkahwinan itu adalah mudah demi menjaga kesucian diri, maruah, dan agama. Yang sukar adalah urusan tanggungjawab dan tahap kematangan dalam pengurusan sebuah rumahtangga. Namun itu semua boleh dipupuk asalkan memiliki ketekunan, kesabaran, dan kesediaan untuk sentiasa belajar memperbaiki keadaan.
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam sendiri telah bersabda:
“Sebaik-baik pernikahan adalah yang paling mudah.” (Sunan Abu Daud, no. 2117. Dinilai sahih oleh al-Albani)
Jika belanja hantaran buat si gadis menjadi alasannya, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam sendiri telah berpesan:
“Di antara wanita yang membahagiakan adalah yang mudah urusan melamarnya, mudah maharnya (maskahwin), dan mudah rahimnya (mudah melahirkan zuriat).” (Musnad Ahmad, no. 24478. Dinilai hasan oleh Syu’aib Al-Arnauth)
Sekiranya maskahwin pun dituntut supaya dipermudahkan, mengapa mahu menambah-nambah dengan pelbagai bentuk beban hantaran yang Nabi sendiri tidak pernah syari’atkan? Bukankah ini bertentangan dengan hadis Nabi tersebut bahawa pernikahan yang baik adalah yang paling mudah. Ini merangkumilah mudah dari aspek perbelanjaan dan pengurusan.
Sehingga Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam sendiri pernah menikahkan sahabat dengan mahar yang begitu mudah, iaitu antaranya dengan mahar cincin besi dan mengajar hafaz bacaan sebahagian ayat al-Qur’an. Kalau Nabi pun bertindak memudahkan pernikahan, kenapa pula pada hari ini ramai yang cenderung memilih perkara yang menyusahkan lagi membebankan diri sendiri dan anak-anak?
Dalam soal adat hantaran ini, perlu kita fahami bahawa pernikahan itu bukanlah pasar untuk memperdagangkan anak gadis melalui kutipan belanja daripada pihak suami. Sebaliknya ia adalah ikatan untuk menuju hidup bahagia berpasangan dengan cara yang syar’i. Bukankah wang dan belanja hantaran yang adakalanya mencecah puluhan ribu ringgit itu lebih baik diguna menampung keperluan hidup berumah-tangga, seperti kos tempat tinggal, kenderaan, dan kehadiran anak-anak kelak?
Selari dengan pesanan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bahawa sebaik-baik pernikahan adalah yang paling mudah, majlis kendurinya pun turut dianjurkan dengan cara yang mudah. Selain itu, Rasulullah turut menganjurkan supaya kita menghulurkan bantuan perbelanjaan walimah kepada pasangan baru bernikah.
Ketika Rasulullah mengetahui sahabatnya ‘Abdurrahman B. ‘Auf baru sahaja bernikah, Rasulullah pun berkata kepadanya (sambil terlebih dahulu mendoakannya):
“Barakallahu laka (semoga Allah memberi berkah kepadamu), adakanlah walimah walaupun hanya dengan seekor kambing.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 5155)
Berdasarkan hadis ini, mengadakan walimah (menjamu orang makan) dengan sebab pernikahan adalah disyari’atkan.
Walaupun begitu, walimah tidaklah semestinya dilakukan dengan seekor kambing tetapi ia dilaksanakan bersesuaian dengan kemampuan suami. Boleh jadi lebih dari itu, atau sebaliknya lebih sederhana dari seekor kambing.
Ini kerana Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam sendiri pernah melaksanakan walimah ketika pernikahannya bersama Shafiyah dengan menyediakan campuran kurma tanpa biji yang dicampur dengan keju dan tepung di atas sumbangan para sahabat yang hadir sebagaimana diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari. Manakala sebahagian riwayat menyatakan Nabi melaksanakan walimah dengan hidangan talbinah.
Selain itu, terdapat juga hadis yang menunjukkan Rasulullah hanya menjemput beberapa orang lelaki meraikan walimah perkahwinannya di waktu yang lain.
Ia tidaklah seperti sebahagian dari masyarakat kita hari ini yang begitu berlebih-lebihan dalam walimah. Memaksa-maksa diri yang tidak mampu sehingga ada yang sanggup membuat pinjaman kewangan demi merealisasikan kenduri perkahwinan yang mahu dilihat besar dan gah.
Menurut sunnah, majlis walimah yang dianjurkan Rasulullah itu tidak lebih dari sekadar jamuan makan dengan bergembira meraikan pasangan yang berkahwin. Ini berlangsung dengan cara menghadiri dan mendoakannya dengan kebaikan. Sehingga orang-orang yang berpuasa pun turut wajib menghadirkan diri ke majlis walimah jika mendapat jemputan dan undangan.
Dalam masa sama, majlis walimah ini tidaklah wajar diiringi dengan maksiat dan kemungkaran. Kerana tujuan asalnya adalah bagi merealisasikan sunnah Rasulullah dan mendapatkan barakah serta keredhaan dari Allah Ta’ala. Sangat menyedihkan perkara-perkara maksiat dalam acara-acara walimah hari ini dilihat begitu subur. Sehingga masyarakat umat Islam menganggapnya sebagai penyeri majlis lalu sanggup berbelanja besar kerananya pula. Perkara ini wajib kita sedari dari awal agar tidak terus menular.
Di antara apa yang penulis maksudkan dari perkara maksiat ini termasuklah pelbagai bentuk pembaziran makanan dan harta, mendedahkan aurat dan bertabarruj (berdandan) bagi tatapan umum, adegan peragaan tubuh melalui upacara persandingan, diadun dengan aneka muzik, acara tari-menari dan nyanyi-nyanyian, dihidang sama dengan upacara khas potong kek, adat menyarung cincin, sesi khas bergambar dan menggantung gambar. Dimasukkan sama adat merenjis dan menepung tawar, bersalam-salaman dengan bukan mahram, mengadakan acara permainan kuda kepang, menggunakan khidmat bomoh tolak hujan, dan seumpamanya. Bentuk-bentuk upacara seperti ini selain memerlukan belanja yang besar, adakah ia termasuk ke dalam tuntutan agama atau sebaliknya, atau mungkin pula bertentangan dengan agama Islam itu sendiri?
Maka di sini timbullah sebuah persoalan, iaitu sejauh manakah sebenarnya majlis perkahiwinan yang benar-benar dianjurkan oleh Syari’at sebagaimana ditunjukkan oleh al-Qur’an dan as-Sunnah yang sahih? Adakah majlis perkahwinan itu perlu diadakan dengan pelbagai aturcara seperti upacara sarung cincin, persandingan, iringan muzik, dan sesi mengambil gambar (fotografi)? Selanjutnya, adakah bentuk-bentuk aturcara walimah seperti ini benar-benar menepati kehendak syari’at dan merupakan suatu yang dibenarkan atau sebaliknya? Sekaligus, adakah tanpa semua upacara tersebut, majlis walimah menjadi hambar, wajar dipandang serong, dan tidak absah?
Maka di antara fokus perbahasan bagi buku ini adalah seperti berikut:
1, Definisi pernikahan dan zawaj.
2, Konsep Mahar Dalam Islam.
3, Adab Khithbah (meminang).
4, Solat Istikharah.
5, Akad Pernikahan.
6, Sunnah Malam Pertama.
7, Adab-adab Jima'.
8, Adab-adab Pernikahan.
9, Hak-hak Isteri Atas Suami.
10, Hak-hak suami atas isterinya.
11, Wasiat dan nasihat pernikahan.
12, Kewajiban berbakti kepada ibu dan bapa.
13, Adab-adab seorang wanita.
14, Ketaatan Wanita Terhadap Rasulullah.
15, Mencontohi para Shahabiyah bagi kaum wanita.
16, Bberapa bentuk penyimpangan dan kemungkaran dalam majlis-majlis pernikahan.
17, Ahkamul Maulud (Adab-adab Menyambut Kelahiran).
18, Menangani Konflik Suami/Isteri.
19, Himpunan fatwa-fatwa para ulama berkaitan pernikahan, rumah-tangga, walimah, hubungan intim, jima', berpakaian, perhiasan, aqiqah, anak-anak, wanita, hubungan kekeluargaan, dan beberapa yang lainnya dari isu-isu kontemporari perkahwinan.
Semoga bermanfaat.
Maklumat lanjut:
Saudara Nawawi, h/p. No.: 012-6887715 atau email: dimensi83@hotmail.com untuk urusan tempahan, pembelian, atau semakan stok. Layari juga www.atsar.ilmusunnah.com
Bayaran Pembelian:
Bank in/depositkan bayaran (termasuk kos penghantaran) ke account CIMB no. 0114-0018104-52-8 (Nawawi B. Subandi), atau Maybank: 162786012893 (Nur Amalina Bt. Zahari) atau Bank Islam: 12038010109649 (Atsar Enterprise) & sms/email kan nama, alamat penuh anda, serta no. tel untuk urusan penghantaran.