Sabda Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa Sallam, “Sesiapa yang menempuh jalan untuk menuntut ilmu, maka Allah akan memudahkan baginya jalan menuju Syurga. Tidaklah suatu kaum berkumpul di salah sebuah rumah Allah dari rumah-rumah Allah (masjid) untuk membaca Kitabullah dan mempelajarinya di antara mereka, melainkan ketenangan (sakinah) turun kepada mereka, rahmat Allah meliputi mereka, dan Allah menyebut-nyebut mereka di hadapan para malaikat yang berada di sisi-Nya.” (Hadis Riwayat Muslim, 13/212, no. 4867)
__________________________________________________________________________________

| Nawawi | Aqeedah | Fiqh | Anti Syirik | Galeri Buku | Galeri MP3 | Bio-Pure |
__________________________________________________________________________________

Monday, December 31, 2012

665 - Wajibnya Taat Pada Pemerintah

Wajibnya Taat Pada Pemerintah


Judul Buku:
Wajibnya Taat Pada Pemerintah
Judul Asal: Al-Amru bi Luzumi Jama'atil Muslimin wa Imamihim wat Tahdziru min Mufaraqatihim

Penulis:
Syaikh 'Abdussalam Barjas

Penerbit:
Cahaya Tauhid Press

Harga:
RM11

Berat:

170g

Keterangan Buku:

Sebaik-baik perkara yang dibicarakan oleh seorang Muslim adalah perkara yang dapat menjadi penguat bagi agamanya, yang dapat menyatukan manusia di atas suatu kalimat yang haq. Sekaligus yang menguatkan dan memperkukuhkan umat Islam. Dan perkara itu adalah perbicaraan tentang ushul-ushul agama, aqidah, atau tauhid, iaitu perkara yang menjadi tunjang kepada agama ini.

Termasuk di dalam perbahasan ushuluddin atau prinsip-prinsip dalam beragama yang menjadi ciri-ciri ahli sunnah wal-jama'ah itu adalah perbahasan tentang ketaatan dan kepatuhan terhadap pemerintah. Sama ada yang adil atau sebaliknya. Tidak satu pun kitab dari kitab-kitab ushul yang ditulis oleh para imam-imam ahli sunnah wal-jama'ah melainkan pasti kitab tersebut menyinggung dan membicarakan perkara ushul ini. Ini menjelaskan dan menunjukkan kepada kita bahawa perbahasan ini sangatlah penting dan memiliki kedudukan yang besar dalam agama.

Dengan ketaatan dan kepatuhan tersebut kaum muslimin akan mendapati kemaslahatan dunia dan kebaikan di dalam beragama. Kata 'Umar B. al-Khaththab radhiyallahu 'anhu:

"Sesungguhnya, tiada ertinya agama melainkan dengan al-Jama'ah (perpaduan), dan tiada ertinya al-Jama'ah tanpa kepimpinan, dan tiada ertinya sebuah kepimpinan tanpa ada ketaatan dan kepatuhan atasnya (dari kalangan para rakyat)."

Demikian juga dengan kata ‘Ali B. Abi Thalib radhiyallahu ‘anhu, beliau menyatakan:

“Tidak akan baik keadaan manusia (rakyat) melainkan dengan adanya amir (pemimpin), sama ada ia pemimpin yang baik atau pun fajir (buruk atau jahat).”

Ada yang bertanya, “Wahai Amirul Mukminin, sekiranya pemimpin tersebut baik (maka ia adalah wajar diterima akal), tetapi bagaimana sekiranya pemimpin tersebut fajir (buruk atau jahat)?”

‘Ali menjawab, “Sebenarnya Allah menjaga keamanan sesuatu kawasan dengan perantaraan pemimpin walaupun ia jahat (fajir), jihad melawan musuh agama mesti dilaksanakan, hal-ehwal perundangan (al-hudud) dilaksanakan, haji berlangsung, dan umat Islam masih boleh beribadah kepada Allah sehingga ajalnya.” (al-Baihaqi, Syu’abul Iman, 6/64)

Imam al-Hasan al-Bashri rahimahullah (Wafat: 110H) mengatakan:

“Pemerintah itu menguasai (atau mengurusi) kita dalam 5 perkara, iaitu solat berjama'ah, al-jama’ah (kesatuan umat), hari raya, benteng pertahanan, dan perundangan. Demi Allah, agama ini tidak akan tertegak melainkan dengan kewujudan mereka, walaupun mereka melakukan keburukan dan kezaliman. Demi Allah, Allah menjadikan kebaikan dengan perantaraan mereka lebih banyak berbanding kerosakkan dengan sebab mereka. Ketaatan kepada mereka adalah suatu yang terpuji dan memisahkan diri daripada mereka adalah kekufuran.” (Ibnul Jauzi, Adab al-Hasan al-Bashri, m/s. 121)

Demikianlah betapa besarnya perhatian para ulama salaf (generasi awal) dalam soal ini, khususnya ketika melihat benih-benih fitnah mula bercambah, kejahilan mula menyebar, kekacauan mula tercetus, dan angin-angin pemberontakan mula bertiup.

Dalam kitab al-Adab asy-Syar'iyyah susunan Imam Ibnu Muflih rahimahullah, beliau membawakan kisah Imam Ahmad B. Hanbal rahimahullah  (Wafat: 241H),

"Di masa pemerintahan al-Watsiq Billah al-'Abbasi. Para fuqaha' Baghdad (semuanya) berkumpul kepada Imam Abu 'Abdillah, iaitu Imam Ahmad B. Hanbal. Mereka berkata padanya:

"Sesungguhnya perkara ini (bid'ah yang menyatakan al-Qur'an adalah makhluk, bukan Kalamullah) telah menyebar luas di kalangan masyarakat Islam. Oleh itu, sesungguhnya kami tidak redha dan enggan menerima kepimpinan dan kekuasaan yang dipegang oleh Sultan (Al-Watsiq Billah). Kebid'ahan (kesesatan) yang menjadikan seseorang kufur, iaitu apabila meyakini al-Qur'an adalah makhluk (bukan kalam Allah)."

Maka kata Imam Ahmad ketika menasihati mereka:

"Yang wajib bagi kalian adalah mengingkari kebid'ahan tersebut dengan hati-hati kalian, dan jangan sesekali kalian berlepas diri dari ketaatan terhadap pemerintah. Jangan cuba-cuba kalian menentang pemerintah kerana ia akan mengakibatkan tertumpahnya darah-darah kalian dan darah-darah kaum Muslimin yang mengikuti kalian. Jangan kalian patahkan tongkat kaum Muslimin, iaitu jangan jadikan mereka bercerai-berai menetang pemerintah. Hendaklah kalian fahami baik-baik akan akibat yang akan muncul kalau kalian menentang pemerintah."

Sabarlah kalian sehingga seorang yang soleh, yang orang-orang merasa tenang dan bebas darinya."

Kemudian kata beliau:

"Ushul (atau cadangan) yang kalian kemukakan ini (untuk menentang pemerintah) kerana tidak redha dengan pemerintahannya (atas sebab kemungkaran-kemungkarannya) adalah suatu yang tidak benar, kerana hal tersebut menyelisihi dan menentang atsar (sunnah-sunnah Rasulullah dan para salaf)."

Demikianlah nasihat Imam Ahmad B. Hanbal rahimahullah. Inilah sebahagian dari gambaran sikap dan prinsip seorang imam ahli sunnah yang berpegang teguh di atas jalan yang haq dalam menyikapi seorang pemerintah yang menyimpang dan berbuat zalim. Manhaj yang sama inilah yang dipegang oleh seluruh ahli sunnah wal-jama'ah sejak dari dahulu hingga ke hari ini, bahkan sehingga ke akhir zaman nanti.

Demikian juga Imam al-Barbahari rahimahullah (Wafat: 329H), beliau turut menyatakan perkara yang sama sebagai sebahagian dari prinsip-prinsip dasar aqidah ahli sunnah wal-jama’ah. Beliau mengatakan dalam kitab aqidah beliau:

“Jika kamu melihat orang yang berdoa keburukan kepada pemimpin, ketahuilah bahawa ia termasuk salah seorang pengikut hawa nafsu, namun apabila kamu melihat orang yang berdoa untuk kebaikan seseorang pemimpin, ketahuilah bahawa ia tergolong sebagai seorang ahli sunnah, insyaAllah.

Fudhail bin Iyadh berkata, “Jika aku memiliki doa yang baik yang makbul, maka semuanya akan aku persembahkan (pohonkan) untuk pemerintah.” Beliau ditanya, “Wahai Abu Ali, jelaskan maksud ucapan tersebut?” Beliau berkata, “Bila doa itu hanya aku tujukan untuk diriku, maka ia hanya bermanfaat untuk diriku, tetapi apabila aku pohonkan untuk pemimpin dan ternyata para pemimpin berubah menjadi baik, maka semua orang dan negara merasakan manfaat dan kebaikan.” (Dikeluarkan oleh Abu Nu’aim dalam “al-Hilyah” (8/91) dari jalan Mardawaih as-Shabigh dan sanad Abu Nu’aim adalah sahih)

Kita diperintahkan untuk mendoakan mereka dengan kebaikan bukan keburukan, walaupun ia seorang pemimpin yang zalim lagi jahat kerana kezaliman dan kejahatan akan kembali kepada diri mereka sendiri manakala apabila mereka (pemimpin) menjadi baik maka mereka dan seluruh kaum muslimin akan merasakannya.” (Syarhus Sunnah, m/s. 83-84)

Begitu juga dengan Imam Abu al-Hasan al-Asy’ari rahimahullah (Wafat: 324H), di mana beliau menegaskan dalam kitab aqidahnya:

“Dan kami (ahli sunnah wal-jama’ah) beri’tiqad akan kesunnahan mendoakan dengan doa-doa kebaikan untuk pemerintah kaum muslimin dan mengakui kepimpinan mereka serta menganggap sesat sesiapa sahaja yang berpendapat perlu memberontak ke atas pemerintah jika mereka melakukan kezaliman.” (al-Ibanah ‘an Ushul ad-Diyanah, m/s. 20) [Hak cipta Atsar Enterprise, www.atsar.ilmusunnah.com. Tidak dibenarkan membuat salinan tanpa kebenaran]

Demikianlah contoh kebijaksanaan para imam ahli sunnah wal-jama'ah dalam berpegang teguh di atas Kitab Allah dan sunnah-sunnah rasul-Nya. Mereka tidak menghadapi fitnah yang dicetuskan oleh pemerintah dengan penentangan, pemberontakan, anarkis, demonstrasi, aktiviti-aktiviti kepembangkangan, atau seumpamanya. Tetapi mereka menghadapinya dengan jalan sabar, memperbaiki diri, ilmu, dakwah, doa, dan nasihat. Mereka bukannya pengecut dan penakut. Bukan juga talibarut pemerintah. Bukan anjing penguasa mahupun anjing-anjing pembangkang.

Tetapi mereka adalah orang-orang yang tegar di atas kebenaran. Yang tunduk patuh di atas al-Kitab dan as-Sunnah yang sejahtera. Yang memiliki hikmah, kebijaksanaan dan kepekaan. Mereka bukan golongan yang terburu-buru. Sehingga mereka bukanlah bertindak untuk menukar keamanan kepada kekacauan, iaitu yang tidak menggantikan sesuatu yang buruk dengan sesuatu yang jauh lebih buruk.

Untuk mendapat gambaran dan pencerahan yang lebih tepat, para pembaca boleh teliti sendiri buku ini. Tidaklah terlalu rumit, tidaklah terlalu tebal. Tetapi memuatkan nasihat-nasihat yang cukup ilmiyah dipenuhi ayat-ayat al-Qur'an, hadis-hadis Nabi, dan pesan-pesan para ulama ahli sunnah dari dahulu hingga ke zaman ini.

Semoga kita beroleh manfaat. [Hak cipta Atsar Enterprise, www.atsar.ilmusunnah.com. Tidak dibenarkan membuat salinan tanpa kebenaran]

Jumlah Muka Surat:
139 m/s.

Maklumat lanjut:
Saudara Nawawi, h/p. No.: 012-6887715 atau email: dimensi83@hotmail.com untuk urusan tempahan, pembelian, atau semakan stok. Layari juga www.atsar.ilmusunnah.com

Bayaran Pembelian: 
Bank in/depositkan bayaran (termasuk kos penghantaran) ke account CIMB no. 0114-0018104-52-8 (Nawawi B. Subandi), atau Maybank: 162786012893 (Nur Amalina Bt. Zahari) atau Bank Islam: 12038010109649 (Atsar Enterprise) & sms/email kan nama, alamat penuh anda, serta no. tel untuk urusan penghantaran.