Dr. Yusuf B. ‘Abdillah al-Qaradhawi hadahullah, adalah satu nama yang tidak asing lagi dalam dunia Islam kontemporari. Banyak pandangan serta fatwa-fatwanya yang diguna-pakai oleh umat Islam dan bahkan oleh kalangan kuffar. Beliau adalah tokoh yang lahir dari kalangan madrasah Ikhwanul Muslimin, yang menjadikan guru-gurunya seperti Muhammad al-Ghazali dan Hasan al-Banna sebagai mentor dan pedoman. Bahkan beliau sangat taksub terhadap kedua-dua tokoh ini yang mana dapat kita lihat melalui pelbagai butir bicara dan tulisan-tulisan beliau.
Hakikatnya, madrasah Ikhwanul Muslimin adalah termasuk madrasah pemikiran yang mendahulukan akal, mempertentangan nash dengan akal, yang menyimpang dari jalan ahlus sunnah wal-jama’ah. Oleh itu, tidak hairanlah apabila tokoh-tokoh yang lahir dari madrasah tersebut adalah orang-orang yang banyak menimbulkan kontroversi, membuat syubhat, dan menyesatkan umat.
Mungkin sebahagian dari kita agak terkejut. Kerana tidak menyangka tokoh yang diidolakan oleh kebanyakan umat Islam seumpama Yusuf al-Qaradhawi ini dianggap sesat dan menyimpang. Hakikatnya, memang demikianlah keadaan beliau. Kebenaran bukanlah diukur dengan banyaknya pengikut mahupun pendukung. Bukan pula diukur dengan populariti. Tetapi ia diukur dengan nash-nash wahyu walaupun pengikut nash-nash wahyu itu amatlah sedikit dan asing di akhir zaman ini.
Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman mengingatkan agar berhati-hati dengan kebanyakan manusia:
وَتَمَّتْ كَلِمَتُ رَبِّكَ صِدْقًا وَعَدْلًا لَا مُبَدِّلَ لِكَلِمَاتِهِ وَهُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ (115) وَإِنْ تُطِعْ أَكْثَرَ مَنْ فِي الْأَرْضِ يُضِلُّوكَ عَنْ سَبِيلِ اللَّهِ إِنْ يَتَّبِعُونَ إِلَّا الظَّنَّ وَإِنْ هُمْ إِلَّا يَخْرُصُونَ
“Telah sempurna-lah kalimat Rabb-mu (al-Qur’an) sebagai kalimat yang benar dan adil. Tidak ada yang dapat mengubah kalimat-kalimat-Nya dan Dia-lah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. Dan jika kamu mengikuti kebanyakan orang-orang yang di muka bumi ini, nescaya mereka akan menyesatkan-mu dari jalan Allah. Kebanyakan mereka tidak lain hanya mengikuti prasangka belaka, dan mereka tidak lain hanyalah berdusta (atas nama Allah).” (Surah al-An’aam, 6: 115-116)
Maka di dalam buku ini membuktikan bahawa Yusuf al-Qaradhawi yang sering digelari dengan gelar Syaikh, Imam, pembela Islam, mujaddid, dan pelbagai lagi gelaran-gelaran hebat oleh para pemujanya yang banyak itu hanyalah gelar-gelar yang menipu dan memperdaya. Jelas-lah, pengikut dan pendukung yang banyak bukanlah menjadi unit ukuran kebenaran.
Di dalam buku ini, penulis membongkar siapakah hakikat sebenar Dr. Yusuf al-Qaradhawi yang diagung-agungkan oleh kebanyakan umat Islam pada hari ini. Kita akan melihat apakah pegangan manhaj beliau dalam beragama, dan kita akan melihat bukti-bukti kesesatan aqidah yang dianutinya dari sejumlah tulisan-tulisan beliau.
Antaranya beliau menyerukan agar berkasih-sayang terhadap Yahudi dan Nashaara. Ini beliau kumandangkan ketika mahu mencari muka di hadapan kaum kuffar tersebut.
Kemudian, beliau meyeru agar setiap agama dunia supaya saling bersatu dan bantu-membantu, menganggap permusuhan umat Islam dengan kaum Yahudi bukan termasuk permusuhan dari sudut aqidah, banyaknya agama adalah termasuk kemaslahatan, hukum-hakam ditentukan dengan pendapat majoriti, membolehkan bersalaman dengan kaum wanita yang bukan mahram dan hal ini telah beliau tunjukkan sendiri contohnya apabila beliau kerap bersalaman dengan kaum wanita non-mahram.
Selain itu, beliau juga termasuk tokoh yang sering berubah-ubah pendapatnya, di depan orang kafir berkata begitu, manakala di depan kaum muslimin berkata lain pula. Beliau terkenal dengan pendapatnya yang tidak konsisten dan saling bertindan satu sama lain.
Beliau juga termasuk orang yang berusaha kuat menghalalkan nyanyian dan muzik ke dalam kalangan umat Islam, menghalalkan sembelihan orang-orang kafir selain ahli kitab, menghalalkan memakan bahan-bahan yang berasal dari sumber khinzir asalkan ia telah diproses secara kimia, dan banyak lagi penyimpangan-penyimpangan lainnya. Bahkan apa yang tidak diungkapkan oleh buku ini pasti lebih banyak lagi seiring dengan peredaran masa dan pendapat-pendapat menyimpang al-Qaradhawi tersebut tidak pernah pun diralat mahupun ditarik balik.
Buku ini turut mendapat pengiktirafan dan kata-kata aluan oleh Syaikh Muqbil B. Hadi al-Wadi’i, Syaikh Ahmad Yahya an-Najmi, Syaikh Abu Ibrahim Muhammad B. ‘Abdul Wahhab al-Wushabi, dan beberapa lagi lainnya.
Berkata Syaikh Al-Muhaddits Ahmad B. Yahya An-Najmi rahimahullah (Mufti di Jizan Arab Saudi ketika hayat beliau):
Ahmad B. Muhammad B. Manshur Al-‘Udaini Al-Yamani hafidzahullah menghulurkan kepadaku sebuah kitab dengan judul, “Raf’ul Litsaam min Mukhaalafatil Qardhawii li Syarii’atil Islaam” yang beliau tulis.
Setelah menela’ahnya, ternyata ia berisi bantahan terhadap pelbagai kesesatan dan penyimpangan Qaradhawi yang tersebar dalam pelbagai kitab, wawancara, dan fatwa-fatwa yang bertebaran di pelbagai akhbar dan majalah. Sejumlah kebathilan Qaradhawi yang dibantah, antaranya adalah seperti:
1, Dakwah untuk mencintai Yahudi dan Nashaara.
2, Propaganda terhadap penyatuan pelbagai agama dan beliau sendiri sering menghadiri muktamar gerakan tersebut.
3, Pendapat bahawa jihad hanya disyari’atkan untuk bertahan sahaja, bukan untuk memerangi orang-orang kafir. (Dalam rangka meraih perhatian, mengampu, dan simpati orang-orang kafir)
4, Berpendapat bahawa demokrasi adalah termasuk Syura dan telah dibahas secara meluas dalam fiqih Islam.
5, Membenarkan kaum wanita untuk bergabung bersama-sama kaum lelaki di parlimen, bahkan memiliki hak untuk memilih dan dipilih.
6, Membolehkan membuat banyaknya hizb (golongan) dan firqah (kelompok-kelompok) dengan beraneka-ragam pemikiran dan manhaj yang berbeza-beza, lalu menganggap ianya sama seperti kewujudan mazhab-mazhab fiqh. Kerana pada anggapannya dengan banyaknya hizb dan firqah akan menjadi solusi damai bagi umat.
7, Berusaha mencampur-adukkan sufi dengan salafi (Ahlus Sunnah), dan masih banyak lagi kejahilan dan kesesatan Yusuf al-Qaradhawi yang menghancurkan agama dari dasarnya, bagaikan meruntuhkan bangunan dari landasannya.
Jazaahullaahu khairan. Syaikh Ahmad B. Muhammad B. Manshur al-‘Udaini telah membantahnya dengan menggunakan nash-nash al-Qur’an dan as-Sunnah serta atsar dari salaful ummah dengan bantahan yang benar-benar membungkam lawan.
Jazaahullaahu khairan wa baaraka fiih. Semoga Allah membalasa dan memberkahinya.
Aku menganjurkan kepada para penuntut ilmu untuk membaca kitab ini. Dalam kitab ini telah dijelaskan secara terperinci penyakit (yang disebarkan oleh al-Qaradhawi) berserta penawarnya.”
Dan ketauhilah bahawa ini bukanlah satu-satunya buku yang ditulis dengan tujuan membongkar kesesatan Dr. Yusuf al-Qaradhawi, bahkan di sana ada lagi beberapa buku lainnya yang ditulis oleh para ulama. Malah fatwa-fatwa para ulama yang membantah pelbagai penyimpangan beliau juga sangat-lah banyak. Demikian juga ulama yang pada mulanya pernah mendukung perjuangan beliau juga turut mencela penyimpangan yang dilakukan oleh al-Qaradhawi kemudiannya.
Antara ulama tersohor lainnya yang menjelaskan penyimpangan-penyimpangan al-Qaradhawi adalah termasuk Syaikh al-Albani, Syaikh Muhammad B. Soleh al-‘Utsaimin, Syaikh Dr. Rabe’ B. Hadi, Syaikh ‘Abdul Muhsin al-‘Abbad, Syaikh Dr. Soleh B. Fauzan al-Fauzan, dan masih ramai lagi lainnya.
Dan pembongkaran penyimpangan-penyimpangan al-Qaradhawi ini dilakukan bukanlah dengan tujuan untuk memburuk-burukkan beliau atau kerana berniat jahat, tetapi sebaliknya adalah dalam rangka menjaga agama Allah dan menyelamatkan masyarakat dari kesesatan yang beliau bawa. Supaya masyarakat tidak terkeliru, terpedaya, sekaligus dapat mengambil langkah berhati-hati lagi waspada. Kata al-Hafiz Ibnu Hajar al-‘Asqalani rahimahullah (Wafat: 852H):
كل من اطلع من حال شخص على شيء وخشى أن غيره يغتر بجميل ظاهره فيقع في محذور ما فعليه أن يطلعه على ما يحذر من ذلك قاصدا نصيحته
“Setiap orang yang mengetahui keadaan seseorang dan dia bimbang orang lain tertipu dengan kebaikan zahir orang tersebut sehingga mengakibatkan orang lain terjebak dalam perkara yang dilarang, maka wajib atasnya supaya memberitahu perkara sebenar yang perlu dijauhi tersebut (kepada masyarakat) dengan maksud nasihat.” (Ibnu Hajar, Fathul Bari, 10/454)
Pernah ditanyakan kepada Imam Ahmad B. Hanbal rahimahullah (Wafat: 241H):
أَنَّهُ يَثْقُلُ عَلَيَّ أَنْ أَقُولَ فُلَانٌ كَذَا وَفُلَانٌ كَذَا . فَقَالَ : إذَا سَكَتّ أَنْتَ وَسَكَتّ أَنَا فَمَتَى يُعْرَفُ الْجَاهِلُ الصَّحِيحُ مِنْ السَّقِيمِ. وَمِثْلُ أَئِمَّةِ الْبِدَعِ مِنْ أَهْلِ الْمَقَالَاتِ الْمُخَالِفَةِ لِلْكِتَابِ وَالسُّنَّةِ أَوْ الْعِبَادَاتِ الْمُخَالِفَةِ لِلْكِتَابِ وَالسُّنَّةِ
فَإِنَّ بَيَانَ حَالِهِمْ وَتَحْذِيرَ الْأُمَّةِ مِنْهُمْ وَاجِبٌ بِاتِّفَاقِ الْمُسْلِمِينَ
“Sesungguhnya amat berat bagiku untuk mengatakan: “Si Fulan itu begini dan Si Fulan itu begini.”
Maka berkata Imam Ahmad: “Jika engkau mendiamkan diri dan aku mendiamkan diri, maka bilakah si jahil akan mengetahui yang benar dan yang keji? Sebagai contoh, para imam bid’ah dari kalangan ahli yang menyimpang dari al-kitab dan as-sunnah atau yang ibadahnya menyimpang dari al-kitab dan sunnah. Maka bayaan (penjelasan) terhadap hal mereka dan memberi tahdzir (peringatan) terhadap umat tentang mereka adalah wajib dengan kesepakatan kaum muslimin.” (Majmu’ al-Fatawa, 28/231)
Ingatlah bahawa Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wa Sallam pernah mengingatkan:
إِنَّمَا أَخَافُ عَلَى أُمَّتِي الأَئِمَّةَ المُضِلِّينَ
“Sesungguhnya yang aku takuti akan bahayanya menimpa atas ummatku adalah tokoh-tokoh yang menyesatkan.” (Sunan at-Tirmidzi, no. 2229. Dinilai sahih oleh at-Tirmidzi)
Maka berhati-hatilah, dan dalam masa yang sama teruskanlah menuntut ilmu yang benar. Selamat membaca, dan selamat berlapang dada. Semoga kebenaran akan bersinar dan kesesatan akan sirna. [Hak cipta Atsar Enterprise, www.atsar.ilmusunnah.com. Tidak dibenarkan membuat salinan tanpa kebenaran]